Peneraju yang Cemerlang, Gemilang dan Terbilang dalam Perancangan Bandar dan Desa

building4

Draf Rancangan Kawasan Khas Rantau Panjang

1.1 Rancangan Kawasan Khas Rantau Panjang 2020 (RKK Rantau Panjang 2020) adalah merupakan Rancangan Pemajuan yang disediakan berasakan kepada peruntukan Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172)

1.2 RKK Rantau Panjang 2020 meliputi keseluruhan Pekan Rantau Panjang dengan keluasan 260.50 hektar dan terletak di dalam 3 mukim iaitu Mukim Pekan rantau Panjang, sebahagian Mukim Rantau Panjang dan sebahagian Mukim Lubok Gong. Ianya berada kira-kira 20km ke bandar Pasir Mas dan 44km ke bandar Kota Bharu serta bersempadan dengan selatan Negara Thailand. Ianya telah dizonkan sebagai kawasan 'Zon Bebas Cukai' di bawah Akta Kastam 1967 yang juga merupakan pintu keluar masuk utama ke Negara Thailand terutamanya ke Pekan Sungai Golok.

1.3 Strategi perancangan RKK Rantau Panjang 2020 diselaraskan dengan 5 komponen pembangunan yang telah dikenalpasti iaitu :-

  • Keselamatan
  • Pelancongan
  • Ekonomi
  • Pengangkutan dan Infrastruktur
  • Pengurusan dan Pelaksanaan

1.4 Selaras dengan komponen pembangunan yang telah dikenalpasti, konsep dan strategi pembangunan RKK Rantau Panjang 2020 dibentuk berdasarkan hasil penemuan dan rangka kerja yang telah dibentuk iaitu keselamatan dan kedaulatan,pelancongan, ekonomi dan infrastruktur dan utiliti. Perincian kepada konsep yang dicadangkan adalah sebagaimana berikut :

  • Merancang aksesibiliti dan fasiliti yang selamat, selesa dan menyeluruh bagi laluan antarabangsa dan dalaman RKK Rantau Panjang.
  • Membangunkan tebing dan pesisir Sungai Golok berasaskan konteks keselamatan dan kedaulatan Negara.
  • Membangunkan semula Zon Bebas Cukai Rantau Panjang dalam konteks ekonomi dan pelancongan supaya ia lebih berdaya saing dan dinamik.
  • Merancang pengelompokan kawasan pentadbiran dan institusi kerajaan untuk memudahkan pengurusan serta mewujudkan gunatanah yang lebih efisyen. Membangunkan sebuah hub pengangkutan awam bersepadu untuk memberikan alternatif kepada pengunjung dan pelancong.
  • Merancang dan mencadangkan pecahan zon terperinci bagi kawasan RKK Rantau Panjang untuk memudahkan pengurusan dan pembangunan yang dicadangkan.

1.5 Berikut adalah strategi pembangunan yang dicadangkan mengikut rangka kerja kajian RKK Rantau Panjang:

i- Strategi pembangunan keselamatan dan kedaulatan

  • Membangunkan tebing Sungai Golok dengan cadangan tebatan banjir dan zon keselamatan
  • Membangunkan landskap dan rekreasi dengan tema yang sesuai untuk menggalakkan aktiviti riadah serta mengurangkan penyeludupan

ii- Strategi pembangunan pelancongan

  • Membangunkan semula zon bebas cukai dengan konsep dan daya tarikan baru
  • Menjadikan Masjid Beijing sebagai mercu tanda ke Rantau Panjang serta pembangunan pintu gerbang dengan imej yang sesuai

iii- Strategi pembangunan ekonomi

  • Mempelbagaikan aktiviti dan produk di zon bebas cukai
  • Mengezonkan tanah berpotensi dengan kediaman dan perniagaan terancang

iv- Strategi pembangunan infrastruktur dan utiliti

  • Membangun dan menambahbaik jalan-jalan yang telah dikenalpasti
  • Membangunkan sistem perparitan yang menyeluruh untuk mengurangkan banjir

1.6 Cadangan gunatanah utama RKK Rantau Panjang 2020 dihasilkan berdasarkan kepada konsep dan strategi pembangunan yang telah dibentuk. Cadangan gunatanah RKK Rantau Panjang 2020 adalah sebagaimana berikut :

i- Cadangan gunatanah telah dibahagikan mengikut zon. Zon gunatanah bagi RKK Rantau Panjang ini dicadangkan mengikut halatuju yang telah ditetapkan iaitu meningkatkan keselamatan dan membantu pertumbuhan aktiviti pelancongan dan ekonomi pekan ini supaya lebih drastik dan ekonomik.

ii- Tanah-tanah yang berpotensi telah dizonkan sebagai kediaman terancang iaitu sebanyak 43.84% (282.18 ekar) untuk menggalakkan pembangunan kediaman berkonsepkan penyatuan tanah ataupon taman perumahan. Zon kediaman ini juga akan dijadikan kawasan untuk penempatan semula penduduk-penduduk di kawasan-kawasan yang bakal dibangunkan berdasarkan cadangan pemajuan RKK Rantau Panjang dan skim perumahan rakyat.

iii- Seterusnya zon perniagaan terancang yang dicadangkan adalah sebanyak 8.83% (56.87 ekar) di Zon Bebas Cukai yang dilihat bakal menjadi titik fokus dalam menjana aktiviti ekonomi dan pelancongan serta di zon 4 iaitu lot-lot di sepanjang Jalan Pasir Mas-Rantau Panjang. Kawasan di sepanjang Sungai Golok pula akan di zonkan sebagai kawasan pembangunan landskap dan zon keselamatan yang merangkumi 6.62% (46.63 ekar) daripada keseluruhan kawasan. Zon keselamatan ini adalah bebas daripada sebarang pembangunan fizikal.

1.7 Perancangan gunatanah RKK Rantau Panjang 2020 yang dibahagikan mengikut zon bertujuan mewujudkan satu mekanisma dalam urusan pembangunan untuk memudahkan Majlis Daerah Pasir Mas mengurus tadbir serta membangunkan Rantau Panjang dengan lebih efisyen. Perincian kepada cadangan gunatanah ini adalah seperti berikut :

i- Membangunkan sebuah zon bebas cukai baru dengan pengkhususan terhadap aktiviti perniagaan yang disokong oleh kemudahan awam dan infrastruktur yang baik dan Zon Bebas Cukai;

ii- Memusatkan pejabat dan pusat operasi agensi-agensi kerajaan yang berpotensi di Rantau Panjang;

iii- Membangunkan pusat atau terminal pengangkutan awam bersepadu yang akan memudahkan pengunjung dan penduduk setempat mendapatkan kemudahan pengangkutan awan; dan

iv- Mengezonkan kawasan-kawasan yang berpotensi sebagai kediaman dan pembangunan bercampur yang terancang.

Laporan Ringkasan Eksekutif
Poster
Pamplet
Borang Bantahan
Notis Akhbar
nakl Streamer

Tarikh Kemaskini : Monday, 12-Jan-2015 2:25 PM

Laman Utama | 2010 © ePublisiti  
Jabatan Perancangan Bandar Dan Desa Semenanjung Malaysia