Home » Selangor » Draf Rancangan Kawasan Khas Bandar Malawati, Kuala Selangor 2025

Draf Rancangan Kawasan Khas Bandar Malawati, Kuala Selangor 2025

1.0 LATAR BELAKANG

1.1 Rancangan Kawasan Khas (RKK) merupakan satu rancangan pemajuan yang disediakan dalam masa yang singkat untuk tujuan pelaksanaan segera (Garis Panduan Rancangan Kawasan Khas, JPBD Semenanjung Malaysia, 2013).

1.2 Proses RKK Bandar Malawati Kuala Selangor ini adalah berdasarkan kepada peruntukan Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 [Akta 172];

1.3 Rancangan Tempatan Majlis Daerah Kuala Selangor 2025 (RT MDKS 2025) telah diwartakan dalam warta Kerajaan Negeri Selangor pada 28 April 2015 dengan no.warta 1924. Manakala Rancangan Tempatan Majlis Daerah Kuala Selangor (Pengubahan 1) 2025 pula telah diwartakan pada 14 Februari 2019 dengan no.warta 525.

1.4 Rancangan Tempatan Majlis Daerah Kuala Selangor 2025 telah mengenalpasti lima (5) kawasan bagi cadangan Rancangan Kawasan Khas (RKK) dan Bandar Lama Kuala Selangor adalah merupakan salah satu daripada kawasan yang telah dikenalpasti tersebut.

1.5 Penyediaan Draf Rancangan Kawasan Khas Bandar Malawati, Kuala Selangor 2025 telah bermula pada Jun 2019 dengan kos keseluruhan sebanyak RM600,000.00. Penyediaan Draf Rancangan Kawasan Khas Bandar Malawati, Kuala Selangor 2025 adalah dengan kerjasama di antara PLANMalaysia@Selangor dan Majlis Daerah Kuala Selangor dengan dibantu oleh perunding yang dilantik iaitu Citiplan Networks Sdn. Bhd.

1.6 Draf Rancangan Kawasan Khas Bandar Malawati, Kuala Selangor 2025 ini telah melalui beberapa siri kelulusan Jawatankuasa Teknikal dan hasil utama kajian ini adalah Draf Rancangan Kawasan Khas Bandar Malawati, Kuala Selangor 2025 yang telah siap sepenuhnya pada Disember 2019.

1.7 Majlis Daerah Kuala Selangor telah menimbang dan bersetuju terhadap pemakluman penyiapan dokumen laporan dan cadangan mengadakan Program Publisiti dan Penyertaan Awam Bagi Draf Rancangan Kawasan Khas Bandar Malawati, Kuala Selangor 2025. Perkara ini telah diterima di dalam Mesyuarat Majlis Daerah Kuala Selangor Bil.2/2020 bertarikh 26 Februari 2020 (Rabu) bertempat di Bilik Mesyuarat Malawati, Majlis Daerah Kuala Selangor.

2.0 ASAS PERTIMBANGAN

2.1 Keperluan penyediaan Rancangan Kawasan Khas Bandar Malawati, Kuala Selangor adalah seperti berikut:

i. Pengisytiharan Bukit Malawati sebagai Tapak Warisan Kebangsaan pada 18 Oktober 2018 oleh Jabatan Warisan Negara (JWN);

ii. Membangunkan potensi pelancongan berasaskan warisan, sejarah dan alam semulajadi selaras dengan hasrat Kerajaan Negeri Selangor;

iii. Menyediakan pelan tindakan pembangunan terperinci bagi memudahkan pihak MDKS melaksanakan projek-projek pembangunan untuk memulihara, mengurus dan mengimplementasikan tindakan kawalan pembangunan dan penguatkuasaan.

iv. Mengoptimumkan nilai-nilai warisan dan sejarah yang terdapat di kawasan kajian bagi memastikan ia dapat dinikmati oleh generasi masa kini dan akan datang. 

v. Penyelarasan dasar dan cadangan pembangunan berkaitan kawasan kajian di peringkat Persekutuan, Negeri dan Daerah.

3.0 PROFIL KAWASAN KAJIAN

3.1 Lokasi Tapak Kajian

i. Kawasan kajian terletak di dalam Daerah Kuala Selangor di bawah pentadbiran Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) dengan keluasan kawasan seluas 9.04 km2 atau 904.22 hektar (2,234.38 ekar). Kuala Selangor juga berperanan sebagai Pusat Pentadbiran Daerah Kuala Selangor.

ii. Kawasan kajian terletak di dalam Mukim Kuala Selangor dan di bawah Blok Perancangan 1 (Kuala Selangor) meliputi kawasan Taman Alam, Pekan Lama Kuala Selangor dan Bukit Malawati.

iii. Kawasan kajian boleh dihubungkan atau diakses melalui Jalan Persekutuan 5  yang menghubungkan Sabak Bernam – Klang dan Jalan Persekutuan 54 yang menghubungkan Kuala Selangor – Kepong. Selain itu, kawasan kajian juga boleh dihubungkan melalui Lebuh Raya Latar (Kuala Lumpur – Kuala Selangor). 

3.2 Guna Tanah Semasa

 i. Kawasan Zon Teras (Core Zone)

Kawasan Zon Teras merangkumi daripada guna tanah perumahan, pengangkutan, hutan, tanah lapang dan rekreasi. Kawasan tanah lapang dan rekreasi meliputi sebanyak 47.06 ekar atau 75.41% daripada keseluruhan kawasan zon teras. Jumlah keseluruhan kawasan zon teras adalah sebanyak 62.39 ekar atau 2.79% daripada keseluruhan kawasan kajian.

ii. Kawasan Zon Penampan (Buffer Zone)

Kawasan Zon Penampan merupakan kawasan selain daripada kawasan cadangan pewartaan kawasan zon teras. Kawasan ini merangkumi guna tanah perumahan, komersial, pengangkutan, hutan, badan air, infrastruktur dan utiliti, tanah kosong, tanah lapang dan rekreasi serta pertanian. Jumlah keseluruhan kawasan zon penampan adalah sebanyak 2,171.99 ekar atau 97.19% daripada keseluruhan kawasan kajian. Perincian guna tanah adalah seperti di jadual 1.

4.0 HALA TUJU PEMBANGUNAN RKK BANDAR MALAWATI KUALA SELANGOR 2025

4.1 Aspirasi Kajian

Mewujudkan Persekitaran Perbandaran Kondusif Bagi Pembangunan Ekonomi Hijau, Pemeliharaan Alam Sekitar, Warisan & Sejarah serta Pelancongan Berasaskan Komuniti bertaraf Kebangsaan.

5.2 Matlamat Kajian

“Menyediakan Rancangan Kawasan Khas (RKK) Bandar Malawati, Kuala Selangor Ke Arah Melestarikan Eko-Pelancongan Warisan dan Sejarah”

5.3 Objektif Kajian

i. Menyediakan dokumen perancangan yang komprehensif sebagai rujukan Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) dan pemegang taruh yang berkaitan;

ii. Menyediakan perancangan guna tanah melalui penyediaan pelan pembangunan yang komprehensif bagi memudahkan kawalan perancangan;

iii. Mempromosi dan penjenamaan semula melalui ekonomi berteraskan pelancongan eko, warisan dan sejarah;

iv. Memelihara dan memulihara aset-aset warisan dan semulajadi sedia ada terpelihara melalui pengurusan pembangunan mampan supaya ianya dapat dinikmati oleh generasi kini dan akan datang;

v. Membentuk imej kawasan kajian melalui cadangan projek pembangunan yang berdaya laksana; dan

vi. Mencadangkan projek-projek yang boleh dilaksanakan supaya dapat meningkatkan produktiviti kawasan kajian iaitu sosial, ekonomi, dan fizikal.

5.4 Konsep Pembangunan

Konsep pembangunan RKK Bandar Malawati Kuala Selangor 2025 ini dirangka sebagai asas bagi pembentukan strategi dan hala tuju cadangan pembangunan bagi keseluruhan kawasan kajian.

Asas utama bagi penentuan konsep pembangunan ini adalah berteraskan kepada tema-tema kajian yang telah ditentukan pada peringkat awal dan merujuk kepada penyelesaian isu, masalah serta mengambil kira prospek dan cabaran serta hala tuju pembangunan masa hadapan. Antara perkara utama yang menjadi teras kepada konsep pembangunan RKK Bandar Malawati Kuala Selangor 2025 ini adalah seperti berikut :

5.0 CADANGAN PEMBANGUNAN

Pembentukan RKK Bandar Malawati Kuala Selangor 2025 ini dilaksanakan berasaskan kepada perancangan mengikut tiga (3) tema pembangunan yang telah ditetapkan di dalam terma rujukan dan susulan daripada Laporan Pendekatan Kajian yang telah disediakan.

Daripada tiga (3) tema pembangunan ini, lapan (8) strategi pembangunan dirangka dengan mengambilkira prinsip, dasar dan pencapaian matlamat serta cadangan awal yang dibentuk pada awal kajian RKK Bandar Malawati Kuala Selangor 2025 ini dijalankan.

6.1       Strategi Pembangunan

Beberapa strategi pembangunan telah dibentuk bagi melaksanakan cadangan di dalam Draf RKK Bandar Malawati Kuala Selangor 2025 iaitu:

i. Perancangan Guna Tanah Yang Mampan dan Perkembangan Bandar Yang Terancang serta Berdaya Huni

ii. Memperkukuhkan Sistem Perhubungan dan Pengurusan Lalu Lintas dan Meningkatkan Kemudahan Pengangkutan Awam

iii. Penyediaan Infrastruktur dan Utiliti Bandar Yang Lengkap, Efisien dan Menerapkan Teknologi Hijau

iv. Pengurusan Alam Sekitar dan Risiko Bencana Yang Teratur dan Efektif

v. Perancangan Pembangunan Pelancongan, Warisan & Sejarah Sebagai Sumber Tarikan yang Pelbagai Serta Menyokong Perkembangan Industri Pelancongan Kawasan RKK Bandar Malawati Kuala Selangor 2025

vi. Mengintegrasikan Imej Bandar, Rekreasi & Lanskap Ke Arah Bandar Hijau, Mampan dan Beridentiti

vii. Mewujudkan Kepelbagaian Asas Ekonomi yang Dinamik sebagai Penjana Ekonomi Sokongan

viii. Pengurusan GIS Ke Arah Memperkukuhkan Pengawalan Sumber dan Aset Bandar

Daripada lapan (8) strategi pembangunan tersebut akan membentuk cadangan yang berupa pelan tindakan seperti berikut:

a) 11 PROJEK BERIMPAK TINGGI (HIGH IMPACT DEVELOPMENT)

Projek yang berpotensi, strategik dan memberi impak besar jangka panjang kepada pertumbuhan ekonomi negeri atau negara, meningkatkan peluang pekerjaan serta mempunyai nilai pelaburan yang tinggi;

b) 24 PROJEK SOKONGAN

Projek yang mempunyai jangka masa yang panjang (boleh melebihi jangka masa yang ditetapkan); dan

c) 17 PROJEK QUICK-WIN yang menyokong pembangunan semasa

Projek yang mempunyai manfaat sebaik pelaksanaannya dan boleh dilaksanakan dalam masa terdekat.

6.0 PROGRAM PUBLISITI DAN PENYERTAAN AWAM

6.1 Selaras dengan peruntukan seksyen 13, Akta 172, publisiti berkaitan dengan draf rancangan tempatan hendaklah disediakan untuk diperiksa. Program publisiti ini juga hendaklah diadakan tidak kurang daripada empat (4) minggu dari tarikh salinan mula tersedia untuk diperiksa dan boleh dilanjutkan sekali oleh Majlis Daerah Kuala Selangor selama tidak lebih daripada empat (4) minggu atas permohonan mana-mana orang.

6.2 Pernyataan publisiti ini hendaklah disiarkan dalam tiga (3) keluaran daripada sekurang-kurangnya dua (2) akhbar tempatan dan satu (1) daripadanya dalam bahasa kebangsaan suatu notis yang menyatakan tarikh dan lokasi salinan draf rancangan tempatan mula tersedia untuk diperiksa.

6.3 Umum telah mengetahui Kerajaan telah mengisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan yang bermula pada 18 Mac 2020 bertujuan mengawal penyakit berjangkit Covid-19 (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 yang telah diwartakan pada 18 Mac 2020.

6.4 Sehubungan dengan itu, publisiti dan penyertaan awam dicadangkan untuk diadakan secara dalam talian (on-line) dengan kaedah berikut;

6.4.1 Membangunkan aplikasi pintar Publisiti dan Penyertaan Awam Rancangan Kawasan Khas Bandar Malawati Kuala Selangor 2025 bagi memudah serta menggalakkan masyarakat menyemak dan memberi pandangan  terhadap laporan menerusi kaedah e-publisiti;

6.4.2 Membuat hebahan di laman Sesawang Majlis Daerah Kuala Selangor, PLANMalaysia@Selangor (Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Negeri Selangor) dan PLANMalaysia (Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Semenanjung Malaysia); dan

6.4.3 Membuat hebahan di media sosial milik Majlis Daerah Kuala Selangor, PLANMalaysia@Selangor (Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Negeri Selangor) dan PLANMalaysia (Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Semenanjung Malaysia).

6.5 Selain itu, laporan Draf Rancangan Kawasan Khas Bandar Malawati Kuala Selangor 2025 juga bersedia untuk diperiksa di Majlis Daerah Kuala Selangor dan PLANMalaysia@Selangor (Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Negeri Selangor).

6.6 Program Publisiti dan Penyertaan Awam bagi Draf Rancangan Tempatan Kawasan Khas Bandar Malawati Kuala Selangor 2025 dicadang untuk diadakan pada 13 Julai 2020 sehingga 10 Ogos 2020.

6.7 Majlis perasmian bagi Publisiti dan Penyertaan Awam, Draf Rancangan Tempatan Kawasan Khas Bandar Malawati Kuala Selangor 2025 dicadang untuk diadakan pada 4 Ogos 2020 secara langsung (live streaming) menerusi media sosial Majlis Daerah Kuala Selangor dan PLANMalaysia@Selangor (Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Negeri Selangor) serta media jemputan yang akan dirasmikan oleh YAB Dato’ Seri Amirudin b. Shari, Dato’ Menteri Besar Selangor atau Pengerusi Jawatankuasa Tetap yang berkaitan.

6.8 Program Publisiti dan Penyertaan Awam ini adalah bertujuan untuk memberikan gambaran yang jelas dan seterusnya bertujuan untuk mendapatkan pandangan, maklumbalas, bantahan dan rayuan daripada pemegang taruh termasuk orang perseorangan, pertubuhan, badan persatuan, pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO), pemaju dan syarikat swasta, pertubuhan politik dan sebagainya berkenaan cadangan pembangunan yang dinyatakan dalam laporan Draf Rancangan Tempatan Kawasan Khas Bandar Malawati Kuala Selangor 2025 ini.

6.9 Pandangan, maklumbalas, bantahan dan rayuan yang dikemukakan oleh pihak-pihak yang berkepentingan akan didengar dan dipertimbangkan oleh Jawatankuasa Siasatan Tempatan dan Pendengaran Awam yang dilantik oleh Jawatankuasa Perancang Negeri selaras dengan peruntukan subseksyen 14(1), Akta Perancangan Bandar dan Desa, 1976 [Akta 172] dan seterusnya mendapatkan kelulusan daripada Jawatankuasa Perancang Negeri Selangor dan persetujuan daripada Pihak Berkuasa Negeri.

BILPERKARADOKUMEN
1.Laporan RKKMuat-Turun
2.Ringkasan EksekutifMuat-Turun
3.BannerMuat-Turun
4.BuntingMuat-Turun
5.Notis AkbarMuat-Turun
6.Bahan PameranMuat-Turun
7.ArtikelMuat-Turun
8.PosterMuat-Turun
9.Borang MaklumbalasMuat-Turun
10.Borang Bantahan OnlineMuat-Turun

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*
*